Tuesday, March 17, 2009

Melayu Derhaka?

Kebelakangan ini banyak cerita yang kita dengar mengenai "sikap biadap" orang Melayu dan bangsa asing yang mula berani mempersoalkan hak keputusan Raja-raja Melayu. Tidak lupa juga kelantangan mulut celupar yang berani mahu mengheret Raja-raja Melayu ini kemahkamah.

Didalam berita pula kita sendiri melihat bagaimana cerdik pandai orang melayu yang berkelulusan tinggi ini berani dan dengan lantang menghina Raja-raja Melayu. Kalau tak diberi pelajaran, maka mundurlah bangsa kita tapi kalau dah beri pelajaran, biadap pula mereka ini.

Adakah kita lupa asal usul kita? Adakah kita lupa adat resam kita? Adakah kita lupa akan adat istana Melayu? Adakah kita lupa siapa Raja-raja kita? Adakah kita lupa akan sikap sopan santun kita? Adakah kita lupa akan perjuangan sebenar orang Melayu?

Apa yang kita lihat sekarang ialah kebongkakkan sifat orang Melayu yang lupa darat sehingga ada pepatah melayu "Raja adil, Raja disembah, Raja zalim, Raja disanggah" digunakan untuk kepentingan sendiri.

Apabila Raja mengikut kemahuan kita, kita sanjung setinggi-tingginya tetapi apabila Raja itu berlaku adil mengikut budi bicara yang dianggap terbaik untuk rakyat, tiba-tiba kita terus mahu memberontak dan mula menuduh Raja itu zalim. Adakah ini patut? Disini saya mahu menanyakan apakah "zalim"nya perbuatan raja itu? Sekiranya keputusan dibuat mengikut perlembagaan dan tertakluk dibawah bidang kuasa Raja, siapakah kita untuk menyoal keputusan itu?

Jangan kerana mahu "menempah" nama, kita sanggup merobohkan institusi Raja-raja kita. Jangan pula kerana atas dasar "keadilan" kita bersikap kurang ajar kepada pemimpin atau Raja kita. Ibu dan bapa kita tak mengajar kita untuk bersikap biadap.

Sebarang masalah atau tidak puas hati sememangnya ada cara untuk membawa perkara itu ketengah atau berunding. Bukan dengan memaki hamum atau mencemuh mereka yang tidak bersependapat dengan kita.

Orang melayu ni banyak adat resam dan sopan santun tapi malangnya semua dilupakan semata-mata kerana sesetengah pemimpin berjaya menapulisasikan isu semasa demi kepentingan sendiri. Ibarat "tangan kiri buang batu, tangan kanan disorokkan". Yang menjadi masalah ialah mereka yang cepat panas dan terus memblog atau dengan cara terbuka memberi pandangan dalam bentuk kurang ajar.

Isu menteri besar perak ialah contoh terbaik. DYMM Sultan Perak telah memutuskan bahawa BN berhak untuk menubuhkan kerajaan tapi PR membangkang. Adakah ini patut?

Para penyokong PR sentiasa mengatakan DYMM Sultan Perak tidak "adil" tapi adakah mereka lupa bahawa DYMM Sultan Perak telah mengambil kira keadaan semasa dan bertindak mengikut kuasa yang telah diberikan? Saya tidak nampak BN memprotes keputusan DYMM Sultan Perak semasa PR dilantik untuk menubuhkan kerajaan negeri walaupun secara sah BN mempunyai kerusi majoriti.

Apa yang pengundi gagal memikirkan ialah bahawa PR ialah cuma "pakatan" dan bukan entiti yang berdaftar. Pakatan boleh berpecah belah kerana tidak berdiri diatas pendirian yang sama. Ini terbukti sehingga sekarang apabila kita lihat PAS dan DAP tidak mampu bersetuju didalam sesuatu isu.

Pengundi melayu atau ahli PKR pula lupa akan realiti sebenar mengenai parti "keadilan" mereka. PKR ditubuhkan semata-mata kerana Anwar Ibrahim tapi mereka lupa bahawa Anwar Ibrahim sendiri bukan ahli parti mereka. Apa ini? Kenapa tak menjadi ahli kepada parti sendiri? Mana KEADILAN kepada ahli parti lain? Saya cabar mereka yang bergelar ahli parti politik "keadilan" rakyat untuk menyoal pemimpin mereka mengenai isu ini. Terang-terang "penasihat" mereka telah "memainkkan" mereka kerana dia sendiri tidak yakin dengan parti keadilan rakyat.

Berbalik kepada isu menteri besar perak, BN juga ada silapnya. Dengan jelas saya mengakui bahawa BN juga mempunyai silap didalam menguruskan isu ini. Sepatutnya, BN harus menunggu sehingga Dewan dibuka untuk melaksanakan undi tak percaya keatas Nizar tetapi akibat gelojoh, BN telah mengambil jalan mudah dan terus memohon restu DYMM Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan negeri Perak.

Setelah ini terjadi, kita boleh lihat pelbagai manusia yang bersikap biadap. Ada yang mahu menyaman DYMM Sultan Perak, ada yang bersikap keterlaluan sehingga menimbulkan kekecohan. Mana sikap sopan santun kita? Mana sikap beradap kita?

Saya tidak menyalahkan pengundi yang "frust" kerana mereka bertindak mengikut hasutan pemimpin PR sendiri.

BN telah menunjukkan kematangan mereka didalam isu di negeri Perak tetapi juga telah membuat ramai lagi pengundi meluat atau benci dengan BN.

Huru-hara politik di Perak memang susah untuk diperjelaskan. Semua pihak mengatakan mereka benar. Didalam kekalutan ini, pemimpin politik mengambil peluang untuk mengeruhkan lagi keadaan supaya suatu keadaan huru-hara timbul. Adakah ini kita mahu? Jika ia, apakah tidak penting kita menjunjung titah Raja? Dimanakah kesetiaan kita? Bukankah didalam rukun negara kita dituntut untuk setai kepada Raja dan perlembagaan?

Wahai orang Melayu tanpa mengira parti politik, bersatulah kita semula demi kebaikan anak bangsa. Perpecahan kita sebagai orang Melayu cuma merugikan kita sendiri. Perbezaan pendapat didalam arena politik menjadi perkara biasa kerana semua nak tunjuk pandai. Perpaduan kita sebagai orang Melayu harus kekal.

Tanpa kekuatan dan perpaduan orang Melayu di Malaysia, maka hancurlah masa depan anak-anak kita nanti. Jangan ingat tiada pembelot didalam orang Melayu. Dengan jelas kita sudah lihat siapa pembelot bangsa. Kalau nak tahu siapa pembelot besar orang Melayu, cuba cari nombor "keahlian" dia di dalam Parti Keadilan Rakyat.

DAULAT TUANKU.

No comments:

Post a Comment