Sunday, March 13, 2011

Perlukah Kita Mempunyai 3 Bahasa Di Papan Tanda?

Beberapa hari yang lepas saya ada terbaca artikel mengenai permintaan MCA untuk kerajaan memastikan terdapat 3 bahasa untuk papan tanda di Malaysia kerana ada rakyat Malaysia bebangsa Cina tidak mampu memahami Bahasa Malaysia.
 
Ini suatu yang pelik kerana sebagai rakyat Malaysia, bahasa resmi kita ialah Bahasa Malaysia. Jadi mengapa kita masih dibelengu dengan mereka yang tidak boleh bertutur, menulis dan faham bahasa Malaysia? Melalui pengalaman saya, ia bukan sesuatu yang janggal kerana memang masih ada kaum bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa Malaysia.
 
Kalau ikut standard bahasa pasar, kita masih boleh berkomunikasi dengan mereka yang pelat berbahasa Malaysia. Tetapi selepas 53 tahun merdeka dan menjadi rakyat Malaysia, kenapa kaum bukan Melayu masih belum boleh bertutur bahasa Malaysia dengan betul? Adakah sistem pelajaran kita sangat lemah sehingga generasi baru bukan Melayu ini tidak mampu belajar bahasa kebangsaan?
 
Kalau dilihat negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand dan lain-lain lagi, rakyat mereka sangat fasih bertutur didalam bahasa resmi mereka. Di Indonesia sahaja, kita tidak boleh lagi mendengar kaum Cina bercakap Cina. Malah, nama mereka juga tidak mencerminkan asal keturunan mereka. Kalau ditanya apakah bangsa mereka, mereka akan kata, "saya orang Indonesia".
 
Negara lain yang mempunyai suku bangsa asal seperti India, China dan lain-lain hanya mempunyai satu bahasa penghantar. Kalau kita mahu tinggal di China, kita perlu pelajari Mandarin, kalau kita tinggal di Jepun, kita perlu pelajari bahasa Jepun, sekiranya kita tidak mampu kuasai bahasa ibunda tempatan, maka kita akan menghadapi kesukaran berkomunikasi.
 
Kita di Malaysia masih bertuah kerana setiap kaum diberi hak untuk mengekalkan identiti masing-masing. Itulah kelebihan kita di Malaysia tetapi semenjak kebelakangan ini, kita sudah bertelagah mengenai hak masing-masing. Saya tidak akan sentuh mengenai hak-hak lain tetapi hanya akan menyentuh betapa kecewanya saya apabila mendengar kaum lain tidak mampu kuasai bahasa resmi negara ini.
 
Pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan setiap rakyat mampu memahami bahasa Malaysia tetapi masih ada dikalangan kita yang hidup dibawah tempurung. Dibangku sekolah, saya bercampur dengan pelbagai kaum. Sehingga sekarang, kami masih berhubung dan saya lihat mereka dengan jelas mampu bercakap dalam bahasa Malaysia walau pun SPM cukup-cukip makan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Mungkin dari segi akedemik mereka lemah tetapi dari segi pergaulan, kami tidak mampunyai masalah. Maka kenapa sekarang timbul kaum lain tidak boleh faham Bahasa Malaysia?
 
 
 
 


__________ Information from ESET NOD32 Antivirus, version of virus signature database 5948 (20110312) __________

The message was checked by ESET NOD32 Antivirus.

http://www.eset.com

No comments:

Post a Comment